Thursday, March 26, 2015

Besarnya Kasih Insan Bergelar Ibu Bapa.

Terbaca satu post daripada seorang ayah buat anak beliau di laman muka buku.
Post penuh chenta,
Post penuh kerinduan,
Post sarat pengharapan.

Sungguh aku terkesan.
Biarpun sebenarnya ianya tiada kaitan sikitpun dengan aku,
Namun efek yang aku peroleh daripada pembacaan post tersebut ternyata amat dalam.

Aku yakin aku tidak keseorangan.
Pastinya ada insan lain lagi yang turut merasakan betapa ianya menyentuh perasaan.
Biarpun mungkin ada juga yang tak terasa apa.
Barangkali mereka fikir itu perkara biasa antara ibu bapa dengan anak mereka bilamana sudah hidup berjauhan.

Aku faham.

Hakikatnya aku adalah sebahagian daripada golongan insan yang tak mampu berkompromi sesampainya pada topik keluarga, apatah lagi ibu bapa.
Mudah terkesan.
Mudah tersentuh.
Sekali lagi aku yakin aku tak keseorangan.

Tatkala membaca post tersebut,
Aku tersentak lalu kemudian serta-merta tersentap.
MashaAllah.
Begini punya kasih seorang bapa kepada anaknya yang beliau tahu hidup jauh daripadanya.
Cepat saja rindu, biarpun mereka susah meluahkan.
Cepat saja risau, walaupun mereka sering memendam pada diri.
Alasannya mereka tak mahu buah hati mereka yang hidup jauh di mata risau tentang mereka.
Kita di sini?
Cukupkah kita ingat pada mereka?
Adakah kita punya masa untuk merenung segala jasa mereka lalu berterima kasih pada mereka?
Atau mungkin kita makin bahagia hidup berjauhan kerana,
Di sini tiada kongkongan,
Tiada peraturan yang mungkin ada ketika di rumah,
Tiada mulut yang mudah saja bising dengan bebelan.
Begitukah kita?

Sedangkan kongkongan, peraturan, dan bebelan itulah antara tanda kasih dan sayang yang barangkali termampu mereka tunjukkan.
Kita remaja suka salahtafsir dan cepat melenting.
Lumrah.
Nastaghfirullah.

Saat pembacaan post tersebut,
Dua insan kesayangan singgah di benak fikiran yang pada mulanya kosong sepi.
Saat itulah fikiran menerawang memikirkan keadaan mereka,
Sihatkah mereka,
Gembirakah mereka,
Rindukah mereka.
Mata terasa panas secara tiba-tiba.
Allah.

Kita kadangkala hanya fikir pada kesusahan, jerih payah kita di rantau orang,
Sakit rindu kita pada keluarga yang adakalanya mendorong kita untuk hilang semangat daripada melakukan apa-apa.
Pernahkah kita terfikir tentang ibu bapa kita?
Apa kita fikir, cuma kita yang rindu pada mereka, sedangkan mereka tiada rasa apa?
Sungguh mudah kita lompat pada konklusi yang tak jelas hakikatnya.

Aku teringat pada dialog antara mak dengan rakan sekerjanya yang memang amat rapat dengan keluarga, sebelum aku berangkat ke bumi ini.
"Tak rasa apa ke anak nak pergi jauh ni?"
Mak senyap sambil hanya mampu melempar senyuman yang pada masa itu aku tahu bakal aku rindui.
Lalu mak menyusun kata.
"Takkanlah tak rasa apa. Kita ni emak."
Ringkas sekali jawapannya tapi makna yang ditinggalkan terlalu dalam sehinggakan sampai sekarang pun masih terngiang-ngiang ayat ini di telinga.
Lalu mak menambah,
"Tapi dia pergi jauh sebab nak belajar, nak cari ilmu, bukan apa."
Mata berkaca.

Sungguh bagi aku enam bulan di sini saja sudah cukup menjadi satu tempoh membanggakan buat aku,
yang selama hampir 19 tahun hidup tak pernah sekalipun berjauhan dengan keluarga,
Tak pernah sekalipun hidup di asrama.
Paling lama rekod dicatatkan ialah ketika daurah sebulan,
Sebelum berangkat ke Jordan.

Masih aku ingat waktu keluarga melawat aku di sana,
ketika itu minggu ketiga daurah.
Pertemuan yang singkat disambut dengan pelukan dan air mata rindu.
Itu baru tiga minggu.
Baru-baru ini ketika mak menjejak kaki ke bumi Urdun,
aku menjemputnya di lapangan terbang.
Niat hati tak mahu menangis.
Waktu aku sambut salam mak, kemudian aku dipeluknya,
Lantas aku melihat matanya jernih berkaca,
Sungguh tak mampu aku tahan air mata.

Barangkali ada yang fikir,
"Memang rapat dengan mak je ke?"
Mungkin kerana sepanjang cerita ini banyak aku selitkan tentang mak.
Hakikatnya abah ialah seorang bapa.
Seorang bapa yang lumrah dan fitrahnya jarang menzahirkan kerisauan dan kerinduannya, apatah lagi pada anak gadisnya.
Namun aku tak mampu menyangkal,
Aku lebih mudah tersentuh bilamana berbicara dengan abah melalui telefon.
Saat itulah terzahir sikap ambil berat seorang bapa.
Yang sememangnya sungguh dalam kesannya.

Terima kasih kepada post berkenaan yang memanggil aku dan juga kalian untuk menambah rasa apresiasi buat ibu bapa kita di Malaysia sana.
Post penuh air mata.
Nyaris banjir Al albayt kita.

Tujuan aku menulis bukanlah untuk sesiapa.
Melainkan diri aku sendiri.
Yang barangkali selalu terleka dan terlupa,
Bahawa ada hati dan jiwa yang sebenarnya sedang sarat merindui.

Jangan nangis.
Jom balik lepas soifi.
Kita penuhkan kapal terbang dengan ahli Prisma.
Keh.

Penconteng mengundur diri.
Eh.
Buah hati mak abah yang paling comel mengundur diri.
Hihi. (Majrur wa 'alamah jarrihi huruf ai dzohiroh 'ala akhirih)

No comments:

Post a Comment