Sunday, December 25, 2016

Hidup Berpasak Rasa Syukur :)

24 Disember 2016.
Sabtu.
Mafraq, Jordan.

Langit mendung jarang terlihat mentari manakala awan-awan seakan tak henti mencurah butir demi butir mutiara jernih sedari pagi.

Sebuah koster memuatkan para sukarelawan dan sebuah lori membawa barang-barang agihan bergerak ke kem pertama, diberi nama kem Abu Muhammad. Sebuah penempatan pelarian Syria yang dikelilingi kebun tanaman. Biarpun dalam rintik-rintik gerimis hujan, mereka menyambut kedatangan kami dengan senyuman dan layanan mereka tidak kurang pada mana-mana sudut pun, walaupun mereka sendiri hidup dalam serba kekurangan.
Hujan yang semakin lama nampak semakin lebat, membuatkan kami tak dapat sama sekali mengagak bila pula akan reda. Sungguhlah hujan itu rahmat indah kiriman tuhan, namun tidak dapat dinafikan lumrah manusia tak sempurna, tetap ada rasa bimbang takut-takut hujan yang turun berkemungkinan sedikit sebanyak bakal melambatkan langkah dan kerja-kerja agihan bantuan.

Betapa tuhan mahu memberi pengajaran dan pengalaman bernilai buat setiap satu daripada kami. Jelas sekali hujan berterusan yang tuhan kirimkan ke atas bumi ini turut dihadirkan bersama-samanya semangat yang kuat untuk kami teruskan kerja agihan demi memastikan bantuan dan sumbangan sampai kepada mereka yang memerlukan.

Bila aku sendiri bertanya kepada penduduk kem tentang keadaan mereka menghadapi musim sejuk ini, jawapan mereka biasanya tetap dimulakan dengan ucapan syukur kepada tuhan tak kiralah sedhoif mana kehidupan mereka. Ada yang kata, hujan lebih baik untuk mereka. Bila aku tanya kenapa, katanya kerana jika tiada hujan sejuknya jauh lebih dahsyat berbanding sejuk yang disertai hujan. Berulang-ulang kali mereka sebut, betapa hujan ini rahmat. Dan tak terlupa mereka pesan pada kami supaya panjatkan doa sebanyaknya sewaktu hujan kerana dengan izinNya permintaan kita akan diperkenan.

Pengalaman paling manis bilamana engkau terjengket-jengket mahu melepasi satu demi satu lopak air yang ada sepanjang jalan dari koster sampailah ke tapak kem. Dari satu kem ke satu kem lain, dengan tanah merah yang membenamkan kasut hingga terasa berat untuk mengangkat kaki dan melangkah, ada pula lopak air seakan-akan saliran sungai yang kecil, yang memerlukan kita untuk membuka langkah yang besar bagi menyeberanginya tanpa menambah basah pada kasut dan hujung kain yang sudah sedia melekat-lekat tanah merah padanya. (Ada orang tu silap besar sebab pergi pakai kain. Satu hal kena jadi princess tengah tengah padang pasir). Ditambah dengan hujan yang tak henti-henti, ada masanya seolah-olah hampir reda, kemudian semakin lebat semula. Sedang kami menyusun langkah untuk merentasi perjalanan ke tapak kem yang tidak bertar dan penuh dengan air bertakung oleh sebab hujan, tuhan tunjuk pada kami anak-anak di kem yang kaki mereka sudah biru-biru kesejukan dek kerana tidak punya stokin untuk dipakai. Begitulah tuhan ajarkan kita erti syukur. Dengan sekilas pandang saja sudah memadai untuk menghadam satu nilai positif, dengan syarat, mestilah punya hati yang dibuka seluasnya untuk mengamati dunia dan seisinya.

Paling membahagiakan, dalam masa satu hari mengerah tenaga menjadi wasilah kepada hasil rasa kemanusiaan warga manusia, berkali-kali kita raih doa manis dari mereka. "Tuhan membalas kamu dengan sebaik-baik kebaikan", kata mereka. Kerap mereka ulang ayat itu, ada masa ditambah dengan kata-kata lain seperti "moga tuhan bantu kamu sebagaimana tuhan hantar kamu untuk membantu kami", "moga tuhan mudahkan segala urusan kamu". Sebak terasa bilamana usaha yang tidaklah seberapa ini mereka balas dengan doa-doa yang menyentuh hati sebagai balasan. Kata mereka, mereka cuma mampu mendoakan yang baik-baik sebagai ucapan terima kasih. Demi tuhan doa-doa mereka sudah amat cukup bernilai buat kami.

Moga tuhan balas segala usaha kita dengan sebaik-baiknya, dari sekecil-kecil usaha sampailah yang sebesar-besarnya. Moga kita hidup terus menyalur manfaat buat orang sekeliling, menjadi asbab senyuman dan tawa mereka. Sesungguhnya ini sahajalah yang kita mampu bantu, dan selebihnya moga tuhan rahmati mereka dengan cinta dan kuasaNya.

Dan pada akhirnya, kekallah kemanusiaan itu sebagai satu medan yang menyaksikan pengorbanan tanpa sempadan apatah pula titik noktah. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang sedia berkorban. Kalau tidak pun, cukuplah sebagai insan yang menyubur nilai kemanusiaan dalam diri umat manusia itu sendiri. Mudah-mudahan.